BERITA TERKINI

PERSEKOLAHAN BAGI TAHUN 2015

11/1/2015

TEMA HARI GURU 2016

GURU:GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Thursday 6 June 2013

 ISRAK DAN MIKRAJ BUKTI KEKUATAN IMAN PARA SAHABAT

Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya


 Peristiwa Israk Mi’raj sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menerima wahyu daripada Allah dengan cara bertemu dengan Allah secara langsung di atas langit. Allah memuliakan kedudukan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda ditenangkan oleh Allah dari kesedihan dan musibah yang ditimpakan ke atas Baginda. Dapat kita pelajari bahawasanya cara untuk menenangkan diri adalah dengan mengembalikan diri kita kepada Allah, mengadu kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Peristiwa Israk dan Mikraj juga menunjukkan bagaimana wujudnya sahabat-sahabat Nabi yang kukuh imannya dan sentiasa membenarkan perkataan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tanpa syak dan keraguan. Bagaimana jiwa seperti Abu Bakar Al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu apabila Nabi memberitahu bahawa semalam aku pergi ke Masjidil Aqsa, dan hari ini aku telah kembali. Satu hal yang sukar untuk dipercayai pada zaman itu. Tetapi jiwa-jiwa tersebut adalah jiwa-jiwa yang mulia. Jiwa yang percaya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tanpa berbelah bahagi.
Inilah teman-teman sejati yang disebut oleh Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu,
مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مُتَأَسِّيًا فَلْيَتَأَسَّ بِأَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّهُمْ كَانُوْا أَبَرَّ هَذِهِ اْلأُمَّةِ قُلُوْبًا، وَأَعْمَقَهَا عِلْمًا، وَأَقَلَّهَا تَكَلُّفًا، وَأَقْوَمَهَا هَدْيًا، وَأَحْسَنَهَا حَالاً، قَوْمٌ اخْتَارَهُمُ اللهُ لِصُحْبَةِ نَبِيِّهِ وَلإِقَامَةِ دِيْنِهِ، فَاعْرِفُوْا لَهُمْ فَضْلَهُمْ وَاتَّبِعُوْهُمْ فِي آثَارِهِمْ، فَإِنَّهُمْ كَانُوْا عَلَى الْهُدَى الْمُسْتَقِيْمِ
“Barangsiapa di antara kalian yang ingin mencontohi, hendaklah mencontohi para Sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana sesungguhnya mereka adalah umat yang paling mulia hatinya, paling dalam ilmunya, paling sedikit sikap menyusahkan, dan paling lurus petunjuknya, serta paling baik keadaannya. Suatu kaum yang Allah telah memilih mereka untuk menjadi sahabat NabiNya, untuk menegakkan agamaNya, maka ketahuilah kelebihan mereka serta ikutilah jejak langkah mereka, kerana sesungguhnya mereka berada di atas petunjuk jalan yang lurus.” (Dikeluarkan oleh Ibnu ‘Abdil Baar dalam kitabnya Jami’ul Bayanil ‘Ilmi wa Fadhlih, tahqiq: Abul Asybal)
Di dalam peristiwa Israk Mikraj ini, dapat kita lihat kekuatan akidah Islam. Peristiwa Israk Mi’raj adalah peristiwa yang cukup menguji akidah, menguji sama ada kita beriman atau tidak kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, menguji akidah para sahabat sama ada mereka mempercayai Nabi ataupun tidak. Kerana itu diberitakan peristiwa israk dan mikraj ini melalui Al-Quran dan Hadis. Di dalam Al-Quran, masyhur seperti yang selalu kita baca di awal surah Al-Israk,
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.” (Surah Al-Israk, 17: 1)
Ini isu akidah. Maka peristiwa Israk dan Mi’raj tidak boleh dikhayalkan. Kita mesti terima cerita tentang Israk dan Mikraj seperti mana ia datang dan seperti mana ia diberitakan oleh Allah di dalam Al-Quran dan diberitakan oleh Nabi di dalam hadis tanpa tokok tambah.
Buraq yang diceritakan oleh Nabi di dalam hadis diceritakan bagaimana keadaan fizikalnya, tetapi penceritaan tentang Buraq tidaklah terlalu detil. Nabi menggambarkan bahawa ia adalah haiwan antara keldai dan baghal, tidak sebesar baghal dan tidak sekecil keldai. Maka kita sebenarnya tidak boleh melukis Buraq seperti bayangan yang kita khayalkan, jangan bayangkan kerana ini adalah perkara ghaib. Ilmu ghaib adalah ilmu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Orang yang suka merobek benda-benda ghaib, mencarik benda-benda ghaib sedangkan benda ghaib ini milik Allah Subhanahu wa Ta’ala sepenuhnya, orang-orang ini akan menghadapi masalah dalam cara dia berfikir.
Antaranya dia akan mudah menghukum hati-hati manusia, bersangka buruk kepada orang, sedang Islam tidak mengajar sedemikian. Ini adalah kesannya kerana isu hati juga adalah isu ghaib. Nabi pernah memarahi sahabatnya yang juga merupakan cucu angkat kesayangan Baginda, Usamah ibn Zaid radhiyallahu ‘anhu apabila Usamah membunuh seorang kafir yang mengucap La Ilaha illallah di dalam peperangan kerana dikatakan takut dengan pedangnya.
Ini bermakna hati-hati manusia bukan untuk dihukum. Tetapi jika seseorang itu biasa berbicara tentang sesuatu yang ghaib sedangkan dia tidak ada ilmu tentangnya, maka cara dia berfikir akan mudah terdedah kepada menghukum dan bersangka buruk kepada orang.
Maka apa yang diberitakan oleh Allah dan Rasul tentang israk dan mikraj, itulah ceritanya tanpa perlu ada tokok tambah dan tanpa perlu kepada pengurangan. Sebab itu generasi para sahabat mudah jiwa mereka untuk menerima agama sama ada pada masalah akidah dan juga masalah ibadah. Mereka sama sekali tidak pernah mempertikaikan, sebaliknya mereka terus taat kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kerana mereka faham dan memiliki kepercayaan yang kukuh bahawa ia adalah arahan dan perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Pernah suatu ketika Abu Bakar Al-Siddiq ditanya tentang maksud perkataan   ‏أ بّا (abbaa) di dalam Al-Quran. Lalu dia berkata,
أي سماء تظلني وأي أرض تقلني إذا قلت في كتاب الله ما لا أعلم
“Langit mana yang hendak melindung aku dan bumi mana yang hendak menerima aku jika aku berkata sesuatu yang tidak aku ketahui dari kitab Allah.”
Ini menunjukkan bahawa bercakap tentang hal-hal yang ghaib bukan satu hal yang kecil. Sebab itu kita merasa amat dukacita melihat sebilangan manusia yang begitu ringan mulut dan tangannya menceritakan atau cuba membongkar hal-hal ghaib yang sepatutnya hanya menjadi milik Allah, kecuali apa yang telah diberitakan melalui RasulNya.

No comments :

Post a Comment

copyright @ smkwtapai.blogspot.com 2011