ISRAK DAN MIKRAJ BUKTI KEKUATAN IMAN PARA SAHABAT
Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya
Peristiwa Israk Mi’raj sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawasanya Nabi
sallallahu ‘alaihi wasallam menerima wahyu daripada Allah dengan cara bertemu dengan Allah secara langsung di atas langit. Allah memuliakan kedudukan Nabi
sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda
ditenangkan oleh Allah dari kesedihan dan musibah yang ditimpakan ke
atas Baginda. Dapat kita pelajari bahawasanya cara untuk menenangkan
diri adalah dengan mengembalikan diri kita kepada Allah, mengadu kepada
Allah
Subhanahu wa Ta’ala.
Peristiwa Israk dan Mikraj juga menunjukkan bagaimana wujudnya
sahabat-sahabat Nabi yang kukuh imannya dan sentiasa membenarkan
perkataan Nabi
sallallahu ‘alaihi wasallam tanpa syak dan keraguan. Bagaimana jiwa seperti Abu Bakar Al-Siddiq
radhiyallahu ‘anhu
apabila Nabi memberitahu bahawa semalam aku pergi ke Masjidil Aqsa, dan
hari ini aku telah kembali. Satu hal yang sukar untuk dipercayai pada
zaman itu. Tetapi jiwa-jiwa tersebut adalah jiwa-jiwa yang mulia. Jiwa
yang percaya kepada Nabi
sallallahu ‘alaihi wasallam tanpa berbelah bahagi.
Inilah teman-teman sejati yang disebut oleh Abdullah bin Mas’ud
radhiyallahu ‘anhu,
مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مُتَأَسِّيًا فَلْيَتَأَسَّ
بِأَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّهُمْ
كَانُوْا أَبَرَّ هَذِهِ اْلأُمَّةِ قُلُوْبًا، وَأَعْمَقَهَا عِلْمًا،
وَأَقَلَّهَا تَكَلُّفًا، وَأَقْوَمَهَا هَدْيًا، وَأَحْسَنَهَا حَالاً،
قَوْمٌ اخْتَارَهُمُ اللهُ لِصُحْبَةِ نَبِيِّهِ وَلإِقَامَةِ دِيْنِهِ،
فَاعْرِفُوْا لَهُمْ فَضْلَهُمْ وَاتَّبِعُوْهُمْ فِي آثَارِهِمْ،
فَإِنَّهُمْ كَانُوْا عَلَى الْهُدَى الْمُسْتَقِيْمِ
“Barangsiapa di antara kalian yang ingin mencontohi, hendaklah mencontohi para Sahabat Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam.
Kerana sesungguhnya mereka adalah umat yang paling mulia hatinya,
paling dalam ilmunya, paling sedikit sikap menyusahkan, dan paling lurus
petunjuknya, serta paling baik keadaannya. Suatu kaum yang Allah telah
memilih mereka untuk menjadi sahabat NabiNya, untuk menegakkan agamaNya,
maka ketahuilah kelebihan mereka serta ikutilah jejak langkah mereka,
kerana sesungguhnya mereka berada di atas petunjuk jalan yang lurus.”
(Dikeluarkan oleh Ibnu ‘Abdil Baar dalam kitabnya Jami’ul Bayanil ‘Ilmi wa Fadhlih, tahqiq: Abul Asybal)
Di dalam peristiwa Israk Mikraj ini, dapat kita lihat kekuatan akidah
Islam. Peristiwa Israk Mi’raj adalah peristiwa yang cukup menguji
akidah, menguji sama ada kita beriman atau tidak kepada Allah
Subhanahu wa Ta’ala,
menguji akidah para sahabat sama ada mereka mempercayai Nabi ataupun
tidak. Kerana itu diberitakan peristiwa israk dan mikraj ini melalui
Al-Quran dan Hadis. Di dalam Al-Quran, masyhur seperti yang selalu kita
baca di awal surah Al-Israk,
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.”
(Surah Al-Israk, 17: 1)
Ini isu akidah. Maka peristiwa Israk dan Mi’raj tidak boleh
dikhayalkan. Kita mesti terima cerita tentang Israk dan Mikraj seperti
mana ia datang dan seperti mana ia diberitakan oleh Allah di dalam
Al-Quran dan diberitakan oleh Nabi di dalam hadis tanpa tokok tambah.
Buraq yang diceritakan oleh Nabi di dalam hadis diceritakan bagaimana
keadaan fizikalnya, tetapi penceritaan tentang Buraq tidaklah terlalu
detil. Nabi menggambarkan bahawa ia adalah haiwan antara keldai dan
baghal, tidak sebesar baghal dan tidak sekecil keldai. Maka kita
sebenarnya tidak boleh melukis Buraq seperti bayangan yang kita
khayalkan, jangan bayangkan kerana ini adalah perkara ghaib. Ilmu ghaib
adalah ilmu Allah
Subhanahu wa Ta’ala. Orang yang suka merobek benda-benda ghaib, mencarik benda-benda ghaib sedangkan benda ghaib ini milik Allah
Subhanahu wa Ta’ala sepenuhnya, orang-orang ini akan menghadapi masalah dalam cara dia berfikir.
Antaranya dia akan mudah menghukum hati-hati manusia, bersangka buruk
kepada orang, sedang Islam tidak mengajar sedemikian. Ini adalah
kesannya kerana isu hati juga adalah isu ghaib. Nabi pernah memarahi
sahabatnya yang juga merupakan cucu angkat kesayangan Baginda, Usamah
ibn Zaid
radhiyallahu ‘anhu apabila Usamah membunuh seorang kafir
yang mengucap La Ilaha illallah di dalam peperangan kerana dikatakan
takut dengan pedangnya.
Ini bermakna hati-hati manusia bukan untuk dihukum. Tetapi jika
seseorang itu biasa berbicara tentang sesuatu yang ghaib sedangkan dia
tidak ada ilmu tentangnya, maka cara dia berfikir akan mudah terdedah
kepada menghukum dan bersangka buruk kepada orang.
Maka apa yang diberitakan oleh Allah dan Rasul tentang israk dan
mikraj, itulah ceritanya tanpa perlu ada tokok tambah dan tanpa perlu
kepada pengurangan. Sebab itu generasi para sahabat mudah jiwa mereka
untuk menerima agama sama ada pada masalah akidah dan juga masalah
ibadah. Mereka sama sekali tidak pernah mempertikaikan, sebaliknya
mereka terus taat kepada Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam kerana mereka faham dan memiliki kepercayaan yang kukuh bahawa ia adalah arahan dan perintah daripada Allah
Subhanahu wa Ta’ala.
Pernah suatu ketika Abu Bakar Al-Siddiq ditanya tentang maksud perkataan أ بّا (
abbaa) di dalam Al-Quran. Lalu dia berkata,
أي سماء تظلني وأي أرض تقلني إذا قلت في كتاب الله ما لا أعلم
“Langit mana yang hendak melindung aku dan bumi mana yang hendak
menerima aku jika aku berkata sesuatu yang tidak aku ketahui dari kitab
Allah.”
Ini menunjukkan bahawa bercakap tentang hal-hal yang ghaib bukan satu
hal yang kecil. Sebab itu kita merasa amat dukacita melihat sebilangan
manusia yang begitu ringan mulut dan tangannya menceritakan atau cuba
membongkar hal-hal ghaib yang sepatutnya hanya menjadi milik Allah,
kecuali apa yang telah diberitakan melalui RasulNya.
Read More...